suria

Mahkamah Persekutuan Batal Rayuan Tiga Aktivis Hindraf

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan rayuan tiga aktivis, yang menggelarkan diri mereka Hindu Rights Action Force (Hindraf), berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan pertuduhan menghasut terhadap mereka.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff serta Datuk Seri Md Raus Sharif, membuat keputusan itu sebulat suara selepas memutuskan mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan tersebut kerana ia bermula di Mahkamah Sesyen.

Prosiding kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, berakhir di Mahkamah Rayuan.

P. Uthayakumar, 49, adiknya P. Waytha Moorthy, 44, dan V. Ganabatirau, 37, telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan menghasut orang ramai melalui ucapan mereka dalam bahasa Tamil di sebuah restoran di Batang Berjuntai, Selangor antara 8.30 malam dan 11.15 malam, pada 16 November 2007.

Pada 26 November 2007, Mahkamah Sesyen memerintahkan ketiga-tiga peguam dilepas tanpa dibebaskan atas alasan teknikal, selepas memutuskan pertuduhan terhadap mereka tidak lengkap.

Bagaimanapun, pada 10 Disember tahun yang sama, Mahkamah Tinggi telah mengubah keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada 7 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan ketiga-tiga peguam dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka dibicarakan atas pertuduhan menghasut.

Uthayakumar, Waytha Moorthy dan Ganabatirau didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 (Semakan 1969) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain