suria

Konvensyen Jadi Titik Perubahan Kesegaran Politik SUPP

KUCHING: Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Ahad, akan melakar perubahan penting bagi SUPP, terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang. Presidennya Tan Sri Dr George Chan berkata, mesej yang ingin disampaikan kepada 5,000 anggota perwakilan dari seluruh Sarawak, termasuk 300 profesional muda dan ahli perniagaan berjaya melalui konvensyen itu ialah SUPP perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan terlibat secara aktif dalam proses perubahan.

"Saya harap konvensyen ini akan berlangsung dengan penuh bertenaga untuk meningkatkan semangat semua anggota agar parti ini menjadi pihak yang perlu diambil kira pada pilihan raya akan datang.

"Sungguh menggembirakan, terutama apabila melihat orang muda sanggup berusaha untuk menentukan nasib sendiri, sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dianjurkan Perdana Menteri," kata Dr Chan, yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan negeri kepada pemberita di sini selepas menyambut ketibaan pesawat B737-800 yang merupakan penerbangan sulung Firefly ke Kuching dari Kuala Lumpur, Sabtu.

Dr Chan berkata komitmen yang ditunjukkan anak-anak muda yang bakal mengambil alih barisan kepimpinan parti itu suatu hari kelak, dalam kegiatan komersial dan sosial seperti Koridor Tenaga Boleh Diperbaharu Sarawak (Score)dan Program Transformasi Ekonomi (PTE), melakar era baru bagi SUPP. Bagaimanapun, kata beliau, perubahan penting ini tidak akan melibatkan sebarang perubahan terhadap dasar parti politik tertua di Sarawak itu, termasuk pendekatan dan sifatnya sebagai sebuah parti pelbagai kaum.

"SUPP mempunyai sejarah yang panjang dan telah menempuh pelbagai pengalaman, termasuk yang indah dan perit, tapi parti yang sudah berusia 52 tahun ini telah mendahului masa dengan menjadi parti pelbagai kaum yang menepati konsep 1Malaysia," kata Dr Chan sambil menafikan SUPP adalah sebuah parti kaum Cina.

Kini, empat daripada 12 Anggota Dewan Undangan Negerinya adalah daripada kaum Bumiputera, yang merupakan 30 peratus daripada keseluruhan 120,000 anggotanya dari seluruh Sarawak.

Ditanya sama ada SUPP akan meletakkan Bumiputera sebagi clonnya untuk bertanding bagi kerusi kawasan bandar yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Cina pada pilihan raya akan datang, beliau berkata perkara lebih penting ialah meletakkan calon yang disukai majoriti rakyat.

Katanya kini, demografi bandar dan pekan di Sarawak telah bertukar menjadi kawasan kediaman penduduk pelbagai kaum berikutan penghijrahan penduduk dari kampung ke bandar.

Sementara itu, Najib, yang dijadual memulakan lawatan kerja beliau ke Sarawak hujung minggu ini dengan melawat projek empangan hidroelektrik Bakun berharga RM7.3 di Belaga dengan menaiki helikopter dari Bintulu awal hari ini, terpaksa membatalkan atur cara itu kerana cuaca buruk.

Dr Chan berkata kerajaan negeri tidak mahu mengambil sebarang risiko, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan perdana menteri.-BERNAMA

Artikel Lain