suria

Pemegang AP Terjejas Dibantu Menerusi Dana

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan setiap pemegang permit import (AP) yang terjejas dengan penamatan pengeluaran permit import (AP) terpakai menjelang 2015 akan dibantu hasil dana yang dikumpul dengan mengenakan caj RM10,000 bagi setiap AP.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata sana itu, katanya telah ditubuhkan kerajaan bagi membantu membangunkan pengusaha Bumiputera, sama ada di dalam industri automotif atau yang lain.

"Sebab itu kita tubuhkan dana ini di mana kita kutip RM10,000 bagi setiap AP yang dikeluarkan supaya proses pemindahan bagi para pemegang untuk mencebur dalam bidang lain dilaksanakan dengan baik.

"Kita harap, dengan adanya dana ini, kita boleh pindahkan mereka dengan mudah dan teratur ke dalam bidang-bidang lain," katanya ketika ditemui di sini, Khamis.

Ditanya mengenai dakwaan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) baru-baru ini yang mengatakan 70,000 pekerja dalam industri automotif negara akan kehilangan pekerjaan sekiranya dasar AP kenderaan dimansuhkan menjelang tahun 2015, Mukhriz mahu mereka membuktikannya.

"Mereka perlu membuktikan kenyataan itu kerana kita mempunyai perangkaan kita sendiri. Kita telah membantu mereka sejak sekian lama, sesetengahnya mencapai 30 tahun.

"Saya rasa mereka akan mendapat manfaat yang besar melalui dasar kerajaan ini. Pada masa ini, terdapat banyak lagi syarikat Bumiputera yang berharap mereka turut menerima AP yang dinikmati oleh 98 syarikat itu.

Mukhriz berkata terdapat lebih kurang 160 syarikat yang layak mendapat AP tetapi kerajaan hanya akan terus dengan 98 syarikat ini sahaja dan akan tetap melindungi mereka sehingga 2015. - BERNAMA

Artikel Lain