suria

Novel Interlok Tidak Rasis - Anwar

PETALING JAYA: Novel Interlok merupakan sebuah karya yang baik dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kontroversi berhubung novel berkenaan tidak perlu dipolitkkan untuk kepentingan mana-mana pihak.

"Saya sudah baca Interlok agak lama dahulu, saya baca sebagai novel yang baik tapi tidak istimewa namun tidak terkesan bahawa ada unsur penghinaan mana-mana kaum.

"Saya tak mahu ambil isu ini sebagai isu politik," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik buku berjudul Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam subjek Bahasa Malaysia tingkatan lima bermula tahun ini.

Bagaimanapun, novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan bersikap perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk kaum India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Sabtu lalu.

Bagaimanapun kata Anwar, Kementerian Pelajaran perlu memandang serius isu berkenaan termasuk meneliti setiap bantahan yang dikemukakan berhubung kontroversi tersebut.

"Saya tak rasa wujud isu perkauman dibangkitkan dalam novel itu, tapi kalau ada pandangan yang sebaliknya sekarang, menteri patut undang dan dengar sama ada munasabah atau tidak teguran itu," katanya.

Artikel Lain