suria

Sultan Selangor Semak Setiap Kenyataan Media Pejabat Istana

SHAH ALAM: Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani sekali lagi menegaskan bahawa semua kenyataan bertulis yang dikeluarkan oleh pihak istana berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, Datuk Mohammed Khusrin Munawi telah mendapat titah dan perkenan baginda.

Beliau berkata, semua kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya telah disemak sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Semua kenyataan yang dikeluarkan adalah selepas menjunjung titah Sultan Selangor dan baginda sendiri menyemak setiap kenyataan yang dibuat.

"Jadi kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa saya mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk kepada Baginda adalah tidak tepat," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, Khamis.

Sementara itu, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) tidak mempunyai hak untuk membuat lantikan bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau berkata menerusi Fasal 1 dan 2 Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor jelas menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri mestilah dilantik oleh sebuah suruhanjaya perkhidmatan yang relevan.

"Ini bermaksud dalam negeri Selangor, suruhanjaya yang berkaitan dalam pelantikan seorang Setiausaha Kerajaan Negeri adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang bertanggungjawab mengeluarkan waran perjawatan.

"Memang Selangor ada SPN, tapi SPN bukanlah suruhanjaya perkhidmatan yang relevan yang dimaksudkan dalam Perkara 52 tersebut," katanya pada sidang media yang sama.

Selain itu katanya peruntukan undang-undang tidak menyatakan bahawa pelantikan seorang Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar sebelum sebarang lantikan dibuat.

"Maknanya bila pihak SPA melantik satu nama, maka pihak kerajaan negeri terpaksa akur kerana itu berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain