suria

K'jaan Bekalkan 84,000 Tan Metrik Minyak Masak Di Pasaran Bulan Ini

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meningkatkan bekalan minyak masak sebanyak 20 peratus atau kira-kira 14,000 tan metrik pada bulan ini sahaja bagi menghadapi persediaan menyambut Tahun Baru Cina.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, kebiasaannya kerajaan membekalkan minyak masak kira-kira 70,323 tan metrik setiap bulan.

"Bekalan kira-kira 84,000 tan metrik akan sampai ke seluruh negara pada minggu hadapan di mana penghantaran sedang dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama anggota Persatuan Bahan-bahan Runcit di sini hari ini.

Katanya, bekalan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu merupakan sebahagian daripada bekalan bagi bulan depan sebagai persediaan menghadapi perayaan tersebut.

Sehubungan itu beliau ingin menasihati orang ramai supaya jangan melakukan belian panik kerana bekalan adalah amat mencukupi malah mungkin berlebihan sehingga "boleh dimandikan dengan minyak di rumah."

Tan turut memberitahu kementerian sedang menyiasat empat syarikat membungkus semula yang disyaki cuba menjual minyak masak keluar negara berikutan harga minyak dunia yang sedang melambung tinggi.

Katanya, di China sahaja harga minyak masak adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada harga minyak masak tempatan iaitu kira-kira RM34 bagi setiap lima kilogram.

"Kerajaan telah memperuntukkan subsidi yang begitu besar sekitar RM1.7 bilion bagi minyak masak sahaja. Sebarang ketirisan dan penyelewengan dianggap sebagai pengkhianat negara," katanya.

Oleh itu katanya, kementerian dengan 1,900 kakitangan penguatkuasanya akan memantau pergerakan syarikat membungkus semula ini dengan teliti dan tiada kompromi ke atas sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

"Lesen mereka akan dibatalkan dan kuota mereka akan dihentikan," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai agar memberikan maklumat kepada pihak penguatkuasa jika didapati terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh kira-kira 221 syarikat membungkus semula yang ada. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain