suria

MIC Yakin Mampu Tingkat Bilangan Pengundi India Pada PRK Dun Tenang

LABIS: MIC berkeyakinan mampu meningkatkan bilangan pengundi kaum India di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bagi mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK)kawasan itu, 30 Januari depan.

Presidennya Datuk G.Palanivel berkata MIC keyakinan disebabkan kira-kira 1,100 daripada 1,754 bilangan pengundi India di kawasan tersebut merupakan anggota MIC.

"Mungkin bila senarai pengundi baru keluar, jumlahnya meningkat sedikit. Tetapi dalam senarai ketika ini jumlahnya adalah 1,754 pengundi dan daripada jumlah itu, 1,100 daripadanya adalah anggota MIC.

"Kita ada 14 cawangan dan kita sudah diberi senarai untuk mengenalpasti pengundi-pengundi terbabit. Kita yakin, kita boleh bawa keluar semua mereka yang berada dalam senarai itu untuk keluar mengundi nanti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera MIC bagi PRK DUN Tenang, di sini, Ahad.

Beliau berkata usaha juga akan dilakukan bagi memastikan kira-kira 80 pengundi India kawasan tersebut yang berada di luar negeri Johor untuk pulang mengundi. LAGI TENANG-MIC 2 (AKHIR) LABIS PRK itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59 akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur pada 17 Dis lepas.

Suruhanjaya Piliahn raya (SPR) menetapkan 22 Januari ini sebagai hari penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, 30 Jan adalah hari pengundian.

Dalam perkembangan lain, Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata MIC mahu kandungan sensitif tertentu yang mengaitkan masyarakat India dalam buku teks sastera Tingkatan Lima bertajuk "Interlok", dikeluarkan daripada kandungan buku berkenaan.

Beliau berkata pihaknya tidak meminta buku tersebut diharamkan tetapi hanya dikeluarkan kandungan sensitif bagi mengelakkan kesan buruk kepada keharmonian kaum.

"Kita tidak mahu diharamkan sebaliknya hanya mahu kandungan sensitifnya dikeluarkan. Kita risau isu seperti ini menjejaskan undi di kalangan masyarakat India," tegasnya.

Buku "Interlok" karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Disember lalu.

Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain