suria

RM16 Juta Bantuan Modal Asas Kepada Pelatih GIATMARA

TEMERLOH: Sebanyak RM16 juta diperuntukkan bagi bantuan modal asas kepada para lepasan pelatih GIATMARA Malaysia untuk memulakan perniagaan mereka mulai tahun ini.

Pengerusi GIATMARA Malaysia Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata peruntukan untuk tahun 2011 dan 2012 itu meliputi bantuan sewa premis perniagaan dan bantuan asas untuk memulakan perniagaan mereka.

"Contohnya jika bekas pelatih GIATMARA mahu memulakan perniagaan membuka kedai menjual kek, kita akan menyediakan modal untuk menyewa premis dan membeli peralatan bagi memulakan perniagaan berkenaan.

"Perkembangan perniagaan mereka akan dipantau, dan selepas itu kita akan menguruskan bentuk pinjaman daripada MARA sekiranya mereka mahu memperkembangkan lagi perniagaan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Shahiruddin berkata pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 2,500 usahawan muda setiap tahun.

Beliau berkata sejak GIATMARA ditubuhkan 25 tahun lepas, seramai 250,000 orang berjaya dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran.

"GIATMARA diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan kita akan mengadakan sambutan 25 tahun penubuhannya pada Jun depan, dan InsyaAllah sambutan itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata GIATMARA akan terus memainkan peranannya untuk melatih golongan belia yang tercicir dalam bidang akademik.

"Lebih 60 peratus pelatih GIATMARA dilihat berjaya dalam bidang kemahiran yang diceburi mereka," katanya.

Shahiruddin sebelum itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan pemberita sambilan Bernama, Harun Mohamed iaitu Norhazwani Nadiah dan pasangannya Mohd Harzamie Rahimi.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain