suria

Perlis Hadapi Kekurangan Bekalan Minyak Masak

KANGAR: Masalah kekurangan bekalan minyak masak kembali membelenggu Perlis apabila kalangan pengguna di negeri itu mula mengadu sukar untuk mendapatkan bahan masakan itu.

Tinjauan Bernama di beberapa buah pasar raya dan kedai runcit di sini mendapati bekalan minyak masak berkurangan manakala permintaan ke atas bahan masakan itu meningkat pada minggu ini.

Seorang pemborong dari Syarikat Chop Tai Sin Sdn Bhd, Tan Kim Bin, 54, ketika ditemui berkata, bekalan minyak masak berkurangan sejak beberapa hari lalu berikutan pengedar hanya menghantar bekalan sekali dalam tempoh seminggu berbanding dua kali seminggu sebelum ini.

Beliau berkata biasanya premisnya menerima 30 tan metrik minyak masak tetapi berkurangan kepada 15 tan metrik sejak beberapa hari lalu dan menurutnya minyak masak yang dibekalkan kepada syarikatnya diagihkan kepada 30 peruncit di sekitar Perlis.

"Pengedar janji akan hantar bekalan pada hari ini, tetapi disebabkan hari ini merupakan cuti umum masalah penghantaran bekalan dijangka akan sampai pada keesokkan hari," katanya yang mendakwa negeri-negeri lain turut mengalami masalah yang sama.

Seorang peruncit, Lee Kim Hing, 65, berkata, premisnya turut mengalami masalah kekurangan bekalan minyak masak kerana pengedar hanya menghantar 800 kilogram minyak masak paket dan tin berbanding 900 kilogram seperti kebiasaannya.

Katanya beliau terpaksa mengehadkan jualan kepada dua kilogram minyak masak sahaja kepada pelanggan.

Seorang lagi peruncit, Nur Azman Daud, 30, juga mendakwa sukar untuk mendapat bekalan minyak masak sejak minggu ini. - BERNAMA

Artikel Lain