suria

Penduduk Di Kawasan Berbukit Di Sarawak Disaran Berwaspada Jika Hujan Berterusan

KUCHING: Penduduk yang tinggal di kawasan berbukit dan lereng-lereng bukit di Sarawak, khususnya Bukit Kanada di Miri dan Bukit Cina di Kapit, disaran mengambil langkah berjaga-jaga terhadap ancaman tanah runtuh ketika musim tengkujuh kini.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak, Dr Kamaludin Hassan berkata, kawasan-kawasan itu akan terdedah kepada ancaman tanah runtuh sekiranya hujan berterusan dan ia akan menyebabkan pergerakan tanah.

"Penduduk di kawasan berbukit perlu berwaspada kerana kecenderungan tanah runtuh berlaku khususnya ketika hujan berterusan selama tujuh hari," katanya kepada pemberita selepas Ceramah Teknikal anjuran Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak dan Persatuan Geologi Malaysia di sini hari ini.

Pada tahun lalu, dua insiden tanah runtuh berlaku di Miri iaitu pada 16 Jan yang meragut dua pekerja Indonesia sebuah stesen minyak yang terletak di kaki Bukit Kanada dan pada 30 Jan, lapan rumah musnah dan 68 orang hilang tempat tinggal di Kampung Lereng Bukit di Miri apabila kejadian tanah runtuh berlaku.

Kamaludin berkata, hasil kajian tanah runtuh di Bukit Kanada sudah siap dan ia akan diumumkan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Kamaludin berkata jabatannya tidak menolak kemungkinan kawasan Bau berpotensi untuk dibuka semula untuk tujuan perlombongan emas.

"Hasil kajian sebuah syarikat swasta menunjukkan tanda positif... ia mungkin dibuka semula," katanya.

Mengenai penduduk berebut untuk melombong emas di sekitar Bau, Kamaludin berkata ia satu kegiatan mencuri kerana perlombongan memerlukan permit.

"Polis dan Jabatan Tanah dan Survei akan mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain