suria

Bunuh: Penjual Bunga Melor Dihukum Mati

SHAH ALAM: Perasaan tidak puas hati dalam satu pertengkaran berkaitan hutang menyebabkan penjual bunga melor, M.Nagarajan membuat keputusan untuk mengekori seorang penghantar surat, B.Elanko.

Dalam perjalanan itu, Nagarajan, 39, singgah di sebuah kedai besi buruk untuk mengambil sebilah pisau yang berkarat dan terus menuju ke rumah sepupu Elanko, G.Mogan.

Tindakan Mogan, 26, yang cuba menghalang Nagarajan daripada masuk ke rumah bagaimanapun gagal apabila lelaki bertubuh kecil itu menerpa masuk dan menikam Elanko.

Elanko, mati akibat ditikam sebanyak tiga kali di rusuk kanan, leher dan paha.

Selepas tiga tahun, adik Elanko, Athi, 31, dan isteri Mogan, T.Nancy, 22, berpelukan di Mahkamah Tinggi di sini menerima keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Nagarajan.

“Saya telah lama menunggu hari ini. Saya gembira,” kata Athi.

Nagarajan kelihatan bersahaja menerima hukuman itu dan sempat bergurau dengan beberapa ahli keluarganya yang hadir di mahkamah pada Rabu.

Terdahulu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh yang diberikan secara bersumpah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Mohd Yazid berkata, beliau tidak dapat menerima pembelaan Nagarajan yang mendakwa dia tidak sedar telah menikam Elanko dalam pergaduhan yang disaksikan oleh Mogan, Nancy dan seorang ibu saudara mereka.

“Tertuduh mengatakan kecederaan berlaku akibat pergelutan dan dia tidak mempunyai niat untuk membunuh mangsa.

“Saya dapati niat tertuduh datang ke rumah itu adalah untuk menyerang mangsa. Saya dapati tertuduh tahu bahawa tikaman tersebut boleh mendatangkan kematian,” tambahnya.

Pada penghakimannya, Mohd Yazid juga menolak hujahan peguam James George bahawa tertuduh secara alternatifnya perlu dihukum atas kesalahan menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut hanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan berbanding pertuduhan asal yang membawa hukuman mati mandatori.

Nagarajan didakwa membunuh Elanko pada pukul 8.30 malam, 30 Disember 2007 di rumah nombor 147, rumah setinggan Pandan Jaya, Ampang Jaya, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan mengemukakan 13 saksi pendakwaan manakala tertuduh membela diri secara bersumpah dari kandang saksi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain