suria

Malaysia, India Meterai MOU Kerjasama Bina Jalan

PUTRAJAYA: Malaysia dan India menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan perkhidmatan bantuan teknikal bagi pembangunan dan pengurusan lebuh raya, yang memberi peluang kepada kontraktor tempatan terlibat dalam projek berimpak tinggi itu di negara berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata potensi daripada perjanjian itu amat besar kerana India mempunyai program pembinaan pelbagai jalan sepanjang 7,000km setahun, atau 20km sehari.

Katanya India menghadapi masalah besar untuk memenuhi keperluan pembinaan itu, sekaligus memberi peluang kepada syarikat Malaysia mengambil bahagian melaksanakan sebahagian daripada program berkenaan.

"Saya yakin dan percaya, melalui MoU ini, ia akan membuka satu lembaran baru dan peluang kepada syarikat pembinaan Malaysia untuk mengambil bahagian dalam melaksanakan projek-projek prasarana di India khususnya dalam membina jalan raya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU itu di pejabatnya di sini, Selasa.

Malaysia diwakili Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor manakala India diwakili Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuh Raya, Kamal Nath.

Najib berkata Shaziman akan berunding dengan rakan sejawatnya itu berhubung butiran terperinci MoU berkenaan yang akan dilaksanakan mulai bulan depan.

Perdana Menteri berkata setakat ini, kontraktor Malaysia terlibat dalam 74 projek bernilai RM14 bilion di India.

"Daripada jumlah itu, hampir 50 peratus daripada projek yang diperoleh tertumpu kepada projek berkaitan pembinaan jalan dan lebuh raya yang bernilai kira-kira RM7 bilion.

"Kerajaan India amat berpuashati dengan peranan yang dimainkan oleh syarikat prasarana negara terutama kontraktor dalam membina jalan-jalan.

"Di samping itu Perdana Menteri India dan kerajaan India juga berhasrat untuk memperluaskan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara. Dengan suasana dan perasaan yang amat positif ini, kabinet India memutuskan supaya MoU ini ditandatangani," katanya.

Melalui MoU itu, kontraktor Malaysia dijangka berpeluang melibatkan diri dalam pembangunan lebuh raya sepanjang 1,000km yang dianggarkan bernilai RM17.5 bilion.

Mengenai satu perkara lain, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia dijangka mampu mencapai pertumbuhan ekonomi seperti yang diunjurkan bagi tahun ini dan tahun hadapan.

"Kita sedar bahawa kita perlu hadapi kelembapan ekonomi antarabangsa tetapi kita sedang merangsang permintaan domestik.

"Program Transformasi Ekonomi pastinya dapat membantu merancakkan pertumbuhan bagi tahun hadapan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain