suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Pahang

KUANTAN: Tiga maut termasuk dua wanita warga emas dalam kemalangan berasingan di Pahang, Khamis.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian pertama berlaku di Km 75 Jalan Chini-Kuantan awal pagi Khamis dengan membabitkan seorang warga emas.

"Dalam kejadian 6.20 pagi itu melibatkan pelanggaran dua buah motosikal dari arah yang sama.

"Mangsa, Cik Noraini Abdul Rahman, 54, yang menunggang sebuah motosikal dipercayai telah merempuh sebuah motosikal lain di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata, mangsa yang tidak memakai topi keledar meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Chini akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Kejadian kedua pula turut membabitkan seorang wanita warga emas dalam satu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta Kancil dengan lori di Jalan Kuantan-Panching dekat Kem Tentera Udara Diraja Malaysia, Batu 10 di sini.

Katanya, mangsa, Rikiah Aziz, 54, yang memandu kereta Kancil telah bertembung dengan sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan lain.

Fauzi berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Sementara itu, kejadian ketiga pada 7.10 malam semalam membabitkan seorang penjawat awam yang dipercayai dirempuh di Km 151 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan.

"Mangsa, Syed Muhamad Syed Omar, 46, yang bekerja di Jabatan Ukur dan Pemetaan Temerloh dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Taman Mawar Indah, Bentong.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dilanggar atau bergesel dengan sebuah kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan meminta orang ramai yang ternampak kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain