suria

Lebih 3,000 Orang Terpedaya Dengan Skim Cepat Kaya Sejak Enam Bulan Lepas

KUALA LUMPUR: Kerana terpedaya dengan janji pendapatan yang lumayan dalam tempoh singkat melalui pelbagai skim pelaburan, lebih 3,000 orang kerugian berjuta-juta dalam masa enam bulan lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata kes terbaru yang dilaporkan ialah RM40,000 untuk perniagaan rumpai laut menggunakan mesin serbaguna, Mat Kiosk yang menjanjikan pulangan sebanyak RM2,000 setiap bulan.

"Syarikat terbabit telah membayar RM2,000 selama tiga bulan seperti yang dijanjikan dan selepas itu gulung tikar, hilangkan diri dan akhirnya mangsa-mangsa yang terlibat dalam pelaburan ini menderita dengan kerugian lebih RM100 juta," katanya pada sidang media aduan Skim Cepat Kaya di Ibu Pejabat MIC di sini, Selasa.

Katanya syarikat tersebut telah mendapatkan pinjaman daripada pihak bank untuk mendapatkan mesin yang diimport dari luar negara dan selepas kejadian itu, mereka menghilangkan diri dengan mesin tersebut sekali.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan nasihat melabur seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara dan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

"Jangan percaya kepada pelaburan yang menjanjikan pulangan duit berjumlah besar melalui pelbagai bentuk...kalau ada duit, tolong labur dalam bank kerana pegawai di sana akan memberi keterangan mengenai cara melabur," kata Murugiah.

Katanya biro itu dan SSM kini dalam proses pemantauan terhadap kegiatan pengarah-pengarah syarikat yang sentiasa menukar nama syarikat dengan tujuan menipu orang ramai.

"Sebilangan daripada pihak syarikat yang melakukan penipuan telah pun dihadapkan ke mahkamah, akaun mereka juga telah dibekukan dan pemantauan juga akan dilakukan dari masa ke semasa," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain