suria

Perodua Cari Teknologi Hijau Lebih Murah

KUALA LUMPUR: Perodua, penjual utama kereta di negara ini, akan mendapatkan teknologi hijau yang lebih murah bersama-sama dengan rakan teknologinya, Daihatsu, bagi mengeluarkan kereta kompak mesra alam sekitar yang mampu dimiliki sambil mendahului pesaingnya.

Bagi mencapai matlamat itu, Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu Bernama bahawa Perodua sedang menguji teknologi "metal-free liquid feed cell" kerana teknologi hijau yang ada sekarang ini adalah terlalu mahal, bukan sahaja bagi pengeluar malah juga kepada para pengguna.

Mengikut rangka pelan lima tahunnya, syarikat itu akan menggunakan teknologi "precious metal-free liquid feed fuel cell" (PMfLFC) sebagai kelebihan untuk mengeluarkan kereta mampu dimiliki kepada orang ramai.

"Sekarang pun, hanya syarikat Jepun yang berupaya membawa masuk kereta hibrid masing-masing ke negara ini dan itu juga melalui sokongan kukuh kerajaan," katanya baru-baru ini.

Menurutnya, walau pun duti eksais 100 peratus dikecualikan bagi kereta hibrid sekarang ini, ia masih tidak dapat menampung pengeluaran secara besar-besaran disebabkan kos itu.

"Banyak pengeluar kereta berlumba-lumba mengeluarkan kenderaan hibrid dan elektrik (EV), tetapi, sebagai pengeluar kereta kompak yang mampu dimiliki, langkah melakukan pelaburan itu tidak berdaya maju. "Walau pun PMfLFC masih dalam penyelidikan peringkat awal, ini adalah teknologi bagi masa depan dan dalam hubungan ini, kami akan memintas sebarang perkembangan teknologi pada masa depan bagi melakukan pengeluaran kenderaan hibrid dan elektrik," katanya.

Teknologi PMfLFC yang baru itu, yang merupakan sebahagian daripada agenda rangka pelan lima tahun Perodua, akan akhirnya memberikan kelebihan kepada pengeluar kereta itu, dengan memintas sebarang perkembangan mengenai teknologi kenderaan hibrid dan elektrik.

"Sambil itu, kita akan fokus bagi menambah baik enjin pembakaran dalaman agar setara dengan teknologi hijau yang baru," katanya.

Sekarang, syarikat itu sedang berusaha menambah baik enjin pembakaran dalaman dengan menggantikan alat ganti acuan besi kepada komponen aluminium sepenuhnya di dalam peringkat pertama rangka pelan itu.

"Walau pun, kita masih menggunakan enjin pembakaran dan melalui usaha itu, kita akan berada pada keadaan yang sama dengan teknologi hibrid dan EV, dan akan diperkenalkan ke dalam pasaran di dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Bagi peringkat kedua pembangunan enjin Perodua, syarikat itu akan turut memperkenalkan enjin turbo suntikan langsung dua silinder.

"Kereta itu dijangka mempunyai lebih kuasa melalui kuasa tambahan dan kami percayai enjin turbo kami akan dapat menambah baik keefisienan bahan api dan memotong pengeluaran karbon sebanyak 30 peratus," katanya.

Mengenai Sistem Transmisi Automatik Elektronik (E-AT) yang akan dikeluarkan tidak lama lagi, katanya syarikat itu kini berada pada peringkat akhir kajian pengeluaran.

"Kami perlu mewujudkan satu kilang yang berbeza sepenuhnya bagi Sistem E-AT dan saya pasti pelaburan lebih RM150 juta akan dilakukan dan pengeluaran akan bermula dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

"Kami kini sedang mengkaji butiran seperti susun atur kilang dan memilih vendor yang boleh membantu kami memasang komponen berkenaan," katanya.

Katanya pelaburan yang dilakukan boleh disifatkan sebagai pelaburan langsung domestik (DDI), sambil menyahut seruan kerajaan supaya sektor swasta membuat lebih banyak pelaburan.

"Ini merupakan satu jenis pemindahan teknologi dari Daihatsu dan mereka akan membantu kita melatih jurutera, operator dan vendor tempatan supaya melakukan pematuhan.

"E-AT adalah sistem bebas habuk tersangat sensitif berteknologi tinggi dan kualiti menjadi kriteria utama," katanya.

Dengan pelaksanaan usaha mengurangkan karbonnya dan menambah baik keefisienan bahan api, Aminar menyeru kerajaan untuk mengiktiraf usaha pengeluar kereta itu dan turut menawarkan insentif bagi kenderaan hibrid dan EV kepada perodua. Selain itu, katanya syarikat itu juga akan terus menambah baik kemudahan pengeluarannya.

Mengenai penggabungan Proton-Perodua yang banyak diperkatakan, katanya syarikat itu tidak mengetahui hasil dan cadangan kajian berkenaan.

"Tunggulah penguman mengenainya tetapi kami akan meneruskan rangka pelan berkenaan dan mengangani isu serta kelemahan yang timbul sekarang ini.

"Benarkan kami, bersama-sama dengan Daihatsu, meneruskan perancangan kami. Ia memerlukan sedikit masa bagi melaksanakan pelan berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain