suria

Warga Myanmar Ditemui Mati Ditikam

KUANTAN: Seorang warganegara Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman pada bahagian dada dan perut di sebuah kabin berhampiran kilang papan di Jalan By Pass Kuantan, di sini, petang Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata warga Myanmar yang hanya dikenali sebagai Hlaymo, 27, itu ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas tilam dengan berlumuran darah di kabin tempat tinggalnya.

Beliau berkata sebelum kejadian Hlaymo bersama seorang lagi rakannya berusia 32 tahun dilihat berada dalam kabin itu, manakala beberapa rakan warga Myanmar itu menonton televisyen di rumah kongsi sebelah kabin berkenaan.

"Kira-kira 6.30 petang salah seorang daripada rakan Hlaymo yang menonton televisyen, keluar untuk membuang air kecil dan dia ternampak Hlaymo terbaring berlumuran darah," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Katanya mayat Hlaymo dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Zulkifli berkata sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menikam Hlaymo ditemui ditempat kejadian, dan polis sedang berusaha mengesan rakan Hlaymo yang berumur 32 tahun itu bagi membantu siasatan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain