suria

Persidangan Ekonomi Wanita Sebagai Platform Perangkaian Penting

PETALING JAYA: Seramai 1,000 peserta disasarkan untuk menghadiri Persidangan Ekonomi Wanita Malaysia-China-Asia Pasifik-Ulang tahun ke-100 Hari Wanita Antarabangsa yang akan diadakan mulai 4-6 Mac tahun depan.

Persidangan itu akan menjadi platform penting untuk perangkaian di kalangan wanita di Malaysia, China dan rantau Asia Pasifik serta usahawan lelaki Malaysia.

Dalam sidang akhbar, pengerusi penganjur Datin Paduka Chew Mei Fun berkata wanita memainkan peranan yang kian penting dalam banyak bidang ekonomi.

"Persidangan ekonomi ini ialah satu projek yang bernilai kerana ia akan menyediakan platform untuk mengetengahkan model kejayaan wanita yang luar biasa dalam perniagaan. Ia akan mendorong wanita turut serta dan berjaya dalam arena ekonomi," tambah beliau.

Persidangan itu dianjurkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Malaysia-China.

Chew berkata meskipun persidangan itu khas untuk wanita, tetapi secara realitinya, ia menerima kedua-dua jantina.

"Kaum lelaki tidak seharusnya hanya mengiktiraf wanita dalam perniagaan tetapi juga memanfaatkan bakat dan daya saing mereka dalam pelbagai bidang," katanya.

Mereka yang berminat menghadiri boleh melayari www.womeneconomicsummit.com.

Persidangan ini disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain