suria

Kerajaan Tingkat Usaha Kukuh Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Malaysia Dan Inggeris - Muhyiddin

SABAK BERNAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan ketika ini sedang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa dan mengukuhkan program pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah.

Beliau berkata ia selaras dengan dasar kerajaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris yang diperkenalkan untuk menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012 di sekolah-sekolah kebangsaan.

"Di samping itu, inisiatif juga diambil bagi melakukan perubahan besar dalam bidang vokasional dan konsep sukan di peringkat sekolah pada masa depan. Saya percaya hanya dengan minda yang cergas, seseorang itu boleh menguasai ilmu dengan cara terbaik," katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan dekat sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Malaysia diiktiraf sebagai antara negara paling maju dalam bidang pendidikan dalam kalangan negara-negara membangun.

"Menteri Pelajaran terdahulu telahpun mempelopori usaha memastikan anak-anak kita berjaya dalam pendidikan dan saya mahu usaha itu diteruskan dan ditambah baik lagi dalam masa akan datang,"katanya.

Muhyiddin berkata pendidikan dilihat mengangkat darjat dan martabat seseorang meskipun datang dari keluarga miskin dan kesungguhan ibu bapa dalam membimbing anak-anak mereka terbukti berjaya membawa mereka keluar (anak-anak) dari kepompong kemiskinan.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno mengkritik pimpinan pakatan pembangkang di Selangor yang dilihatnya tidak berupaya memenuhi kehendak rakyat di negeri itu.

"Saya dapati tiada hubungan rapat dan perpaduan di antara parti komponen pakatan pembangkang dari segi gerak kerja. Perkara ini membimbangkan saya sebab ia akan beri kesan buruk kepada rakyat di Selangor khususnya dari segi ekonomi," katanya.

Terdahulu, Anggota Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon dalam ucapannya berkata Muhyiddin melakar sejarah menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama melawat kawasan Sekinchan dan Sungai Besar.

Selepas majlis perasmian itu, Muhyiddin turut melawat SRJK (C) Yoke Kuan yang terletak kira-kira 500 meter dari Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan. - BERNAMA

Artikel Lain