suria

Suhakam Tepis Anggapan Bagaikan Harimau Tidak Bergigi

KUALA LUMPUR: Tanggapan sesetengah pihak kononnya Suhakam umpama 'harimau tidak bergigi' dalam menyelesaikan isu-isu hak asasi kerana dibebani skop tugasan yang terlalu luas, adalah tidak benar, kata Pesuruhjayanya Prof. Datuk Dr Mahmood Zuhdi A. Majid.

Beliau berkata, di sebalik ribuan aduan dan persoalan hak asasi yang diterima, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia itu mengambil pendekatan berhati-hati dalam menanganinya bagi mengimbangi antara kepentingan pemerintah dengan kepentingan masyarakat.

"Saya rasa falsafah pada peringkat ini ialah kita tidak akan mamah dan menelannya sekaligus, sebaliknya mengambil sedikit-sedikit, memamah dan menelannya secara sedikti-sedikit di mana akhirnya dengan cara itu kita akan dapat melaksanakan banyak perkara.

"Memang banyak persoalan hak asasi dalam negara ini. Kalau kita nak menangani semuanya sekaligus tentu kita akan gagal, apatah lagi kalau kita bersikap begitu haloba untuk melaksanakan dasar serta memberi penyelesaian dalam semua hal," katanya ketika menjadi tetamu dalam program "Kerusi Panas" di Radio24 Bernama kelolaan Zulkifli Bujang, pada Isnin.

Dr Mahmood Zuhdi berkata, sebagai sebuah Suruhanjaya yang dilantik oleh kerajaan bagi mewakili masyarakat dalam menyampaikan isu-isu berkaitan hak-hak kemanusian, pihaknya sedar perlunya keseimbangan dalam membuat penyelesaian.

"Di bawah kepimpinan baru, kita (Suhakam) bakal mempunyai identiti tersendiri dalam menangani isu-isu berbangkit dan yang pasti kita tidak akan menjadi orang suruhan kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama memperjuangkan isu ini,"katanya.

Beliau berkata, selain menangani cabaran yang terpaksa diterima daripada kerajaan, rakyat dan NGO dalam penugasan menegakkan hak-hak asasi, cabaran yang lebih hebat yang terpaksa ditempuh ialah penafian mengenai hak asasi di kalangan masyarakat dan rakyat yang tidak begitu bernasib baik di negara ini.

Katanya, dalam hal tersebut Suhakam akan lebih berhati-hati serta sama sekali tidak akan melibatkan diri dengan mana-mana golongan politik sama ada pemerintah mahupun mereka yang tidak bersetuju dengan pemerintah.

"Kita cuba mewujudkan identiti sendiri dan akan bergerak mengikut perhitungan kita sendiri," katanya.

Mengenai aduan yang diterima Dr Mahmood Zuhdi berkata, sebanyak 800 aduan diterima sejak awal tahun sehingga Oktober lalu dengan 10 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan Suhakam mempunyai populariti yang cukup baik di kalangan rakyat yang mencari keadilan dan kebebasan.

Beliau berkata, walaupun jumlah kes yang berjaya diselesaikan kecil tetapi ia membuktikan bahawa kesedaran umum tentang hak-hak asasi telah meningkat.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Kerja Pendidikan dan Promosi Suhakam berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menerapkan aspek-aspek hak asasi ke dalam beberapa mata pelajaran sekolah supaya generasi muda mampu membudayakan hak asasi ketika Malaysia bakal bergelar negara maju menjelang tahun 2020.

Katanya, Suhakam juga sedang berusaha untuk mendapat kelulusan bagi penubuhan kelab-kelab hak asasi manusia di universiti. Beliau berkata, kelab itu kelak boleh berperanan memantau dan memberi cadangan dalam isu-isu berkaitan kemanusian.

"Dengan kemajuan komunikasi yang ada serta kemampuan kerajaan mengadakan infrastruktur hebat, saya yakin dalam masa 10 tahun ini kita akan dapat melebarkan pengetahuan tentang hak asasi, dan saya juga optimis proses pembudayaan hak asasi akan lebih melebar," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain