suria

Nik Hasyudeen Terima Anugerah Presiden CPA Australia

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pemantauan Audit (AOB), Nik Mohd Hasyudeen Yusoff memenangi Anugerah Kecemerlangan Presiden Anugerah Perkhidmatan dan Kepimpinan daripada CPA Australia.

Dalam kenyataan di sini Jumaat, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkata, Nik Hasyudeen dipilih memenangi anugerah itu atas sumbangan dan perkhidmatan beliau kepada CPA Australia serta profesion perakaunan di Malaysia dan Asean.

Nik Hasyudeen, bekas presiden Institut Akauntan Malaysia itu, aktif dalam Jawatankuasa Penasihat Amalan Awam CPA Australia sejak 2004.

Beliau dilantik sebagai pengerusi AOB pada April lepas, dan pada masa ini beliau ialah anggota Panel Semakan Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat.

Nik Hasyudeen juga ialah ahli lembaga penasihat Sekolah Graduan Perniagaan dan Fakulti Perniagaan Universiti Sains Malaysia dan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya.

CPA Australia ialah badan perakaunan profesional yang dianggotai lebih 129,000 profesional kewangan, perakaunan dan perniagaan dari seluruh dunia.

Anugerah Presiden itu merupakan hadiah untuk anggota atau badan yang telah menyumbang secara ketara dan sukarela dan melepasi jangkaan kepada CPA Australia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain