suria

Jemaah Malaysia Reda Ujian Di Tanah Suci

MEKAH: Jemaah haji Malaysia harus reda dengan sebarang ujian atau masalah yang dialami ketika menunaikan fardhu haji di Tanah Suci Mekah dan jika ada kelemahan pihak berkuasa, ia tidak wajar dimanipulasi.

Mereka wajar menjadikan setiap kesusahan tersebut sebagai ukuran ketaqwaan dan bagi mengenali diri sendiri selain mensyukuri nikmat Allah SWT.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyediakan segala keperluan untuk jemaah sebaik mungkin agar mereka selesa menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Ketertiban jemaah Malaysia mendapat pujian pihak Muassasah dan kerajaan Arab Saudi yang menganggap TH adalah contoh pengurusan yang mengutamakan kebajikan jemaah dan wajar dicontohi oleh negara-negara Islam lain.

Mereka harus bersabar kerana setiap ujian itu ada ganjarannya dan untuk mendapat haji yang mabrur, jemaah hendaklah reda dengan setiap dugaan," katanya kepada pasukan media TH.

Sementara itu, seorang jemaah, Nik Ismail Wan Hamid, 67, dari Seri Kembangan, Selangor berkata untuk memenuhi tuntutan mendekatkan diri kepada Allah SWT, setiap jemaah hendaklah reda dengan apa yang menimpa mereka semasa di Tanah Suci.

"Jemaah perlu menyiapkan diri dengan mengikuti kursus dan belajar perkara-perkara penting supaya dapat mencapai tahap ibadat apabila datang mengerjakan haji," kata pesara Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu.

Nik Ismail yang ditemui sekembalinya dari Mina selepas selesai melontar di Jamrah berkata beliau reda dengan segala masalah atau kekurangan pihak pengurusan atau Muassasah semasa di Arafah dan Mina.

Hujan sederhana lebat turun di Mekah dan Mina pada Khamis petang semasa sebahagian besar daripada kira-kira 2.7 juta termasuk 26,000 jemaah Malaysia masih mengerjakan perkara wajib haji iaitu melontar di Jamrah.

Air hujan yang melimpah ke jalan raya di Kota Mekah semasa puluhan ribu jemaah melakukan tawaf haji dan saie haji, membawa bersama sampah sarap dan bau busuk.

"Kami bersyukur kepada Allah SWT dan menganggap apa sahaja kelemahan pihak pengurusan sebagai perkara yang harus diterima sebagai qada dan qadar Allah SWT.

InsyaAllah jika ada rezeki kami akan kembali lagi mengerjakan haji atau umrah bersama anak-anak," kata pasangan guru dari Alor Setar, Kedah, Amanah Abdul Aziz, 41, dan suaminya Zahrol Ismail, 41.

Menurut Amanah semasa hujan di Mina, mereka telah selesai melontar untuk hari kedua di Jamrah.

Wan Nab Ibrahim, 54, dari Ketereh, Kelantan pula bersyukur kerana hujan di Mina tidak terlalu lebat dan air tidak memasuki khemah jemaah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain