suria

Polis Lumpuh Kegiatan Loteri Haram Di Jerteh

BESUT: Polis melumpuhkan kegiatan loteri haram yang bergiat lebih tiga bulan di bandar Jerteh dengan tertangkapnya empat lelaki dalam serbuan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata semua lelaki yang berumur antara 36 dan 58 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Teratur dekat sini ketika sedang menjalankan aktiviti mereka.

Katanya, polis merampas 23 helai kertas yang mempunyai nombor loteri, satu unit mesin faksimili, satu unit mesin kira, alat tulis dan wang tunai berjumlah RM7,973.

Dalam sidang akhbarnya hari ini Kamaruddin berkata kejayaan tersebut adalah hasil penyiasatan dan intipan serta maklumat orang ramai sejak beberapa bulan lalu.

"Saya percaya dengan tertangkapnya empat suspek itu, kegiatan judi loteri haram yang baru hendak berkembang di daerah ini berjaya dilumpuhkan," katanya. Menurutnya, kegiatan itu dipercaya dijalankan sebanyak tiga kali seminggu dengan membabitkan jumlah pertaruhan judi tidak kurang dari RM7,000 bagi tiap kali dijalankan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4a(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM200,000, jika sabit kesalahan.

Semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain