suria

Kerajaan Akan Kaji Dakwaan Landasan Berkembar Punca Banjir Di Kedah

ALOR SETAR: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji sama ada projek pembinaan landasan kereta api berkembar (EDTP) dari Ipoh ke Padang Besar menjadi punca berlakunya banjir besar di Kedah awal bulan ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata kementerian akan mendapatkan pandangan dari Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Alam Sekitar mengenai perkara itu.

"Kami prihatin dengan rungutan masyarakat, jadi kami akan mendapatkan pandangan kontraktor kedua-dua jabatan itu tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Malaysia Airport Holdings Bhd di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas di sini, Sabtu.

Beliau berkata pada 2005, Kedah turut mengalami banjir besar sedangkan pada ketika itu projek EDTP belum dimulakan.

"Hujan yang sangat lebat juga boleh menyebabkan banjir yang dikatakan sebagai paling buruk dalam tempoh 35 tahun, bagaimanapun kami pasti akan mencari kebenaran mengenai dakwaan itu," katanya. Terdahulu, Abdul Rahim diberi taklimat mengenai keadaan banjir yang turut menjejaskan lapangan terbang itu baru-baru ini.

Sebanyak 60 penerbangan dibatalkan apabila lapangan terbang itu terpaksa ditutup dari 2 Nov hingga Khamis lepas berikutan landasannya dinaiki air.-BERNAMA

Artikel Lain