suria

Kastam KLIA Rampas Barang Seludup Bernilai Hampir RM4 Juta

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya merampas barang seludup bernilai RM3,960,489 juta daripada 67 kes rampasan yang melibatkan pelbagai kesalahan.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Azizah Idris berkata rampasan terbesar dicatatkan pada bulan lepas dengan jumlah rampasan sebanyak RM1,172,396 juta yang membabitkan nilai cukai berjumlah M3,371,543.19 juta.

Antara barang yang dirampas bagi bulan itu termasuklah rokok, minuman keras dan tiga buah kereta Mercedes Benz, BMW dan Nissan Fairlady, katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam, di sini pada Isnin.

Beliau berkata empat warga tempatan berumur antara 20 dan 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan berhubung penyeludupan kereta mewah tersebut dan mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan diselesaikan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus Kastam dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Walaupun selalunya barang-barang ini ditahan ketika masih dalam perjalanan tetapi kali ini barang-barang tersebut dikesan berada di rumah kediaman yang dijadikan stor manakala kereta mewah disimpan di premis kediaman di sekitar Lembah Klang dan pihak Kastam bertindak atas maklumat risikan dan maklumat orang awam," katanya.

Azizah berkata orang ramai diseru untuk terus memberi kerjasama kepada Kastam dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA di talian 03-8787 4909 atau menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.

Sementara itu beliau berkata Kastam melalui Cawangan Pemeriksaan Penumpang berjaya mengesan 25 kes penyeludupan dadah seperti syabu oleh penumpang-penumpang yang cuba masuk ke negara ini dengan meletakkan dadah tersebut di dalam bagasi atau disorok dalam badan termasuk di tali pinggang.

Beliau berkata kebanyakan mereka adalah rakyat India, Nigeria, Iran, Pakistan dan Uzbekistan dengan purata syabu yang dirampas sebanyak satu hingga dua kilogram bagi setiap kes.

"Kes-kes ini kita serahkan kepada Bahagian Narkotik Kastam atau Narkotik Polis di mana berkenaan, dan selepas itu ia akan diurus oleh pihak yang berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain