suria

Suami Berat Hati Lepaskan Isteri Ke Terengganu

JASIN: "Saya begitu berat hati melepaskan isteri pergi ke Terengganu".

Itulah luahan suami bekas wartawan Berita Harian, Patimah Ramli yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Pahang, malam tadi.

Hassan Nani, 62, berkata beliau sepatutnya turut bersama rombongan isterinya itu menghadiri majlis pertunangan anak saudaranya di Terengganu tetapi membatalkan hasratnya kerana masalah kesihatan.

Bekas pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata isterinya itu adalah tempat beliau bergantung.

"Saya kerap dimasukkan ke hospital (Hospital Melaka) kerana mengalami sakit barah sejak setahun lepas," katanya kepada Bernama selepas pengebumian isterinya di Kampung Abbey, dekat sini malam Ahad.

Hassan berkata beliau menghantar isterinya ke Duyung iaitu rumah keluarganya yang menjadi tempat mereka berkumpul sebelum bertolak ke Marang pada pagi Jumaat lepas.

"Kali terakhir saya bercakap dengan Patimah ialah kira-kira pukul 8 malam tadi melalui telefon bimbit ketika mereka berhenti rehat di Gambang, Pahang...saya reda dengan pemergiannya," katanya.

Patimah, 46, adalah antara empat yang rentung apabila kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di KM119 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin malam tadi.

Tiga lagi yang maut dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu ialah pesara Jabatan Kerja Raya, Md Sharif Nani, 61, isterinya, Marinah Kambas, 60, dan anak saudara mereka yang juga pemandu kereta, Rosli Mat Isa, 28.

Jenazah Patimah tiba di kediaman keluarganya pada kira-kira pukul 4 petang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran pada pukul 7 petang.

Hassan berkata ini merupakan kali kedua beliau kehilangan isteri. Isteri pertamanya meninggal dunia akibat ketumbuhan otak kira-kira 13 tahun lepas.

Hassan mempunyai lapan orang anak dengan isteri pertamanya dan seorang anak bersama Patimah.

Patimah yang bertugas sebagai pengurus pentadbiran di Kumpulan Melaka Berhad (KMB) sebuah agensi kerajaan negeri Melaka merupakan lulusan diploma Sebaran Am Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam dan pernah menjalani latihan praktikal di Biro Bernama Melaka pada lewat tahun 80-an. - BERNAMA

Artikel Lain