suria

Kanak-Kanak Perempuan 11 Tahun Mati Lemas Di Tali Air

KOTA BAHARU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mati lemas ketika cuba menyelamatkan sepupunya daripada lemas di tali air di Kampung Tualang, Banggu, di sini Sabtu.

Mayat Siti Nur Fatihah Sharom, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Banggu di sini dijumpai kira-kira setengah jam selepas kanak-kanak itu dilapor hilang dibawa arus deras di tali air itu.

Bapa saudara mangsa, Ismail Harun, 34, berkata Siti Nur Fatihah cuba menyelamatkan anaknya Mohd Faiz, 9, yang hampir lemas ketika mandi di tali air itu bersama empat rakannya kira-kira pukul 10 pagi.

"Melihatkan keadaan sepupunya itu (Mohd Faiz) hampir lemas Siti Nur Fatihah terjun ke dalam tali air yang dipenuhi air dan arus yang deras menyebabkan mangsa terus hilang dibawa arus," katanya.

Beliau berkata Mohd Faiz berjaya diselamatkan rakan anaknya itu yang sebaya dengannya.

Ismail yang bekerja sebagai pendawai elektrik berkata mayat Siti Nur Fatihah dijumpai kira-kira 10 meter dari tempat kejadian oleh penduduk kampung yang mencarinya di tali air itu.

Ketika kejadian ibu mangsa, Haslina Harun, 32, yang masih sakit selepas terlibat dalam nahas jalan raya di hadapan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) berada di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.

Manakala ayahnya, Sharum Abdul Hamid, 37, bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke HPRZ II untuk bedah siasat.

Jurucakap Balai Polis Binjai yang dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain