suria

Pemandu Kereta Mercedes Terlibat Kemalangan Bas Sudah Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Pemandu kereta Mercedes Benz yang dilaporkan turut terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas di Km 38 Genting Sempah, yang meragut tujuh nyawa pada Jumaat lepas, sebenarnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bentong, sehari selepas kejadian.

Ketua Polis Trafik Selangor Supritendan Che Hussein Omar berkata keterangan pemandu lelaki berumur 30-an itu dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Lelaki itu yang merupakan pemandu kenderaan limosin memberitahu polis bahawa perlanggaran dengan bas sebelum kemalangan meragut tujuh nyawa itu berlaku ketika dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) untuk mengambil penumpang," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Rabu.

Bagaimanapun kata Che Hussein, pemandu itu tidak memberhentikan kenderaannya kerana berasakan kereta Mercedes tersebut tidak mengalami kerosakan serius.

Polis sebelum ini cuba mengesan pemandu Mercedes terbabit selepas bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, itu dikatakan melanggar sebuah Mercedes Benz sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbalik di laluan bertentangan.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7.50 malam itu meragut tujuh nyawa, menyebabkan 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahim Abdullah memberitahu Bernama, pemandu bas yang ditahan reman empat hari berakhir semalam dilepaskan dengan jaminan polis.

S.Muthumani, 36, yang patah kaki kanan dan cedera di muka akibat kemalangan itu kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Muthumani yang tidak mempunyai lesen memandu itu juga dilaporkan memandu dengan sebelah tangan akibat kecacatan yang dialami dalam satu kemalangan sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain