suria

N45 Galas: PAS Terdesak Pertikai SPR

GUA MUSANG: Tindakan PAS cuba membantah proses membawa peti undi menggunakan helikopter dari kawasan Orang Asli ke pusat penjumlahan undi di Pusat Sivik esok jelas menunjukkan bahawa parti itu berada dalam keadaan terdesak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PAS begitu tertekan untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas hingga terpaksa mempertikaikan amalan biasa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses berkenaan.

"Itu tanda mereka berhadapan dengan tekanan hingga perkara yang biasa dilakukan oleh pihak SPR turut dibantah.

"Selama ini pun perkara begini tak berbangkit atau keputusan pilihan raya di cabar hanya kerana membawa peti undi ke pusat penjumlahan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhammad Fakhry di Sungai Terah di sini, Rabu.

Beliau mengulas tindakan PAS yang mahu mengemukakan bantahan terhadap SPR berhubung proses membawa peti undi yang belum dikira ke pusat penjumlahan undi di Pusat Sivik.

PAS tidak bersetuju dengan kaedah yang digunapakai oleh SPR itu yang didakwa boleh menimbulkan keraguan.

Selain itu Muhyiddin turut berharap agar PAS menghormati peraturan yang sedia ada dan bersifat lebih rasional.

"Bagi saya hormatilah peraturan-peraturan yang sedia ada, jangan kita terdesak atau jadi tak berapa rasional.

"Memang perlu angkat peti undi, itu biasa berlaku dengan kawalan polis dan pihak berkuasa. Pihak parti tak akan terlibat bersama. Walaupun kita boleh memerhati, tapi ini diuruskan oleh pihak berkuasa," katanya.

Diminta mengulas mengenai gambar yang menunjukkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan sumbangan wang tunai kepada masyarakat Orang Asli di Lojing kelmarin, Muhyiddin berkata perkara tersebut jelas bertentangan dengan undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Itu bukti jelas, Nik Aziz boleh jelaskan apa yang dilakukannya, tapi berdasarkan kenyataan SPR perbuatan itu salah.

"Sama ada tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu kita serah kepada mereka. Bagi saya ia jelas bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain