suria

Bencana Merapi: EM Mohon Kuliah Pelajar Malaysia Ditunda

JAKARTA: Education Malaysia (EM) Indonesia (dahulunya Jabatan Penuntut Malaysia) telah memohon kepada pengurusan tiga institusi pengajian di Yogyakarta agar menunda kuliah pelajar-pelajar dari Malaysia jika kesan bencana letusan Gunung Merapi menjadi bertambah buruk.

Pengarah EM di sini Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata ia adalah sebagai langkah menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar Malaysia di kawasan yang rawan bencana letusan gunung berapi itu.

Pada masa ini, katanya, 495 pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada (UGM), lima pelajar di Institut Seni Indonesia (ISI) dan tujuh pelajar di Politeknik Seni Yogyakarta (Poliseni), pergi ke kuliah seperti biasa kerana pengurusan institusi pengajian masing-masing memutuskan untuk meneruskan sesi pengajian dengan alasan keadaan masih terkawal.

"Bagaimanapun, pihak EM telah menghubungi pengurusan di UGM, ISI dan Poliseni supaya mempertimbangkan agar sesi kuliah ditunda jika keadaan lebih buruk terjadi," katanya dalam kenyataan di sini.

Seramai 42 pelajar Malaysia di Pesantren Sirojul Mukhlasin, Magelang, yang dipindahkan ke Solo semasa Gunung Merapi meletus pada 26 November lepas, telah dihantar pulang ke pesantren itu Isnin, setelah pihak berkuasa tempatan mengesahkan kawasan Magelang selamat.

Junaidy berkata bahawa pada masa ini keadaan di Yogyakarta, Solo dan Magelang adalah terkawal meskipun letusan Gunung Merapi masih berlaku setiap hari, yang terakhir pada 3.30 pagi ini, apabila gunung itu memuntahkan lava merah panas dan menyembur awan putih selama 30 minit.

Aliran lava gunung berapi teraktif di dunia itu kelihatan mengalir hanya sejauh satu kilometer ke Tenggara, jauh dari penempatan pelajar Malaysia.

Selepas itu Merapi menyembur awan panas sebanyak 10 kali mulai 5.25 pagi dan semburan itu bergerak ke arah selatan dengan jarak luncur sejauh satu km sahaja. "Perkara ini tidak membimbangkan kerana cuaca di Yogyakarta agak baik pagi ini dengan langit cerah manakala hujan turun mulai pukul 11.15 pagi," katanya.

EM telah menasihatkan pelajar Malaysia mengurangkan aktiviti luar, dan jika keadaan memaksa, pelajar hendaklah memakai topeng penutup mulut.

Ia juga telah mengedar 1,000 ubat titis mata kepada semua pelajar Malaysia Ahad lepas manakala pelajar yang menghidap asma dan penyakit lain berkaitan pernafasan dan alahan diminta lebih berjaga-jaga.

Naman-nama pelajar yang berkenaan telah direkodkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Yogyakarta.

Pelajar Malaysia juga dilarang menjadi sukarelawan buat sementara waktu, sama ada melalui kegiatan bersama MER-C Indonesia, Bulan Sabit Merah Indonesia atau Palang Merah Indonesia untuk memastikan keselamatan mereka terjamin, memandangkan Gunung Merapi sering mengeluarkan awan panas yang berbahaya. "Pegawai EM masih ditempatkan di Yogyakarta untuk memantau keadaan pelajar terbabit," kata Junaidy.

Beliau juga menjelaskan bahawa pelajar Malaysia di Lampung, Sumatera, tinggal jauh dari Gunung Anak Karakatua, yang sedang meningkatkan aktiviti volkanik pada masa ini.

"Ada 13 orang pelajar Malaysia dalam jurusan agama di UIN, Raden Intan dan 10 orang adalah pelajar yang baru masuk tahun 2010. Rumah pelajar berada dalam jarak 180km dengan Gunung Anak Karakatua dan teletak di tanah sawah 80km dari pantai," katanya.

EM telah menghantar garis panduan untuk dipatuhi oleh mereka jika gunung berapi itu meletus dan para pegawai EM akan melawat mereka dalam masa terdekat untuk menganjur bengkel pengurusan krisis agar mereka lebih mahir dalam menangani sebarang bencana alam. - BERNAMA

Artikel Lain