suria

N45 Galas: PAS Tetap Tawar RM250

GUA MUSANG: Walaupun menerima kecaman pelbagai pihak, PAS tetap mahu menawarkan habuan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar agar pulang mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan bahawa PAS hanya menjadi 'orang tengah' bagi menguruskan pemberian habuan berkenaan.

Jelasnya, peruntukan sumber kewangan yang akan diberikan itu adalah hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)sebagai insentif galakkan supaya pengundi luar pulang mengundi.

"Bukan PAS yang bagi wang itu sebaliknya disumbangkan NGO tertentu yang tak boleh saya nyatakan.

"Kita akan bagi juga kerana pemberian habuan berkenaan tidak menggunakan wang tabung atau dana parti PAS secara langsung...PAS hanya jadi medium untuk salurkan wang itu sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin malam.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata habuan itu merupakan perbuatan sogokan dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana pemberian wang berkenaan boleh disifatkan sebagai pemberian sogokan bagi tujuan membeli undi.

Selain itu Abdul Halim berkata, pemberian wang berkenaan hanya akan dilakukan selepas pengundi-pengundi berkenaan selesai membuang undi.

"Kita hanya bayar selepas mereka selesai mengundi, tindakan itu bukan bermakna kita beli undi kerana kita sendiri pun tak tahu parti mana yang mereka pangkah (undi).

"Mungkin kalau kita beri wang itu sebelum mengundi boleh disifatkan sebagai kesalahan, tapi apa yang akan kita lakukan adalah sebaliknya...lagipun wang itu hanya pembayaran kepada servis kenderaan mereka," katanya.

Artikel Lain