suria

Galas: Pengundi Kampung Baru Perlukan Wakil Rakyat Rapat Dengan Pusat

KULIM: Pengundi-pengundi di tiga kampung baru dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (dun) Galas di Kelantan memerlukan seorang wakil rakyat yang rapat dengan kerajaan Persekutuan iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengatasi beberapa masalah yang telah lama mereka hadapi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Chor Chee Heung berkata beliau telah melawat ke Kampung Baru Gua Musang, Kampung Pulai dan Pekan Batu dan mendapati rata-rata penduduk di situ khususnya orang Cina kini lebih menghormati BN kerana parti itu mampu menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya yakin semakin ramai yang condong menyokong MCA dalam masa terdekat ini dan saya beri jaminan bahawa mereka semakin galak menyokong calon BN sebab mereka kini hendak melihat BN menang kerana BN mampu membangun sementara kerajaan lain sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat MCA Bahagian Kulim dan Bandar Baharu di sini Sabtu.

Sementara itu, Chor yang juga Naib Presiden MCA berkata Pusat Khidmat yang dilancarkan itu merupakan pusat kedua bagi MCA Kulim dan Bandar Baharu, setelah yang pertama diwujudkan selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Beliau berkata pusat itu merupakan satu keperluan penting dan mempunyai jenama tersendiri dalam usaha membantu rakyat, sama ada BN menang atau kalah pilihan raya pusat itu perlu diwujudkan.

Chor berkata arahan pucuk pimpinan parti bahawa semua Bahagian MCA di seluruh negara diwajibkan mewujudkan pusat khidmat di bahagian dan cawangan masing-masing.

Selepas majlis perasmian itu Chor membuat lawatan mengejut dan meninjau perkembangan di Kampung Baru Junjong dekat sini.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, beliau berkata kementeriannya telah meluluskan peruntukan RM100,000 untuk pembinaan jalan mini tar yang bersambung ke kawasan dusun buah-buahan di kawasan tersebut untuk memudahkan pekebun-pekebun membawa keluar hasil dusun mereka dan akan dilaksanakan tahun depan.

Chor berkata pihaknya juga telah membina empat jalan mini tar di kawasan sama berharga RM100,000 yang telah siap dibina tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain