suria

N45 Galas: Pemuda PAS Didakwa Cetus Provokasi

GUA MUSANG: Gara-gara ketiadaan isu dan terdesak untuk meraih sokongan pengundi, jentera Dewan Pemuda PAS didakwa cuba mencetuskan provokasi dengan membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa kejadian bakar bendera itu dilakukan oleh sekumpulan jentera Pemuda PAS di Kampung Lembaga kira-kira lewat malam tadi.

Bagaimanapun jelasnya menerusi maklumat awal, perkara berkenaan tidak dilakukan oleh jentera Pemuda PAS tempatan.

"Saya sangat kesal, saya rasa ini bukan kerja Pemuda PAS tempatan tapi kerja jentera Pemuda PAS dariluar, mungkin mereka tak tahu sensitiviti dan tata susila politik tempatan, mereka terbawa-bawa dengan cara agresif di tempat lain," katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di sekitar kawasan Kereta Tanah Melayu (KTM) Gua Musang di sini, Khamis.

Dalam kejadian lewat malam tadi, difahamkan bendera BN dan Umno dibakar dan sebuah kain rentang disimbah bahan peluntur.

Tambah Khairy, beliau berharap kejadian seumpama itu tidak berulang agar imej berkempen secara sopan pada pilihan raya kali ini dapat dikekalkan.

Malah beliau berkata akan memaklumkan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi agar mengawal disiplin dan tingkah laku jenteranya sepanjang tempoh berkempen.

"Saya harap tidak berlaku lagi, saya minta pihak keselamatan dan juga pihak Pemuda PAS supaya dapat kawal anak-anak buah mereka kerana ini bukan tempat untuk bakar bendera dan cabar-mencabar, kita nak berpolitik dan berkempen secara sopan, tak perlu secara agresif.

"Saya nak beritahu kepada Ketua Pemuda PAS agat beliau dapat kawal anak-anak buahnya, tunjuk disiplin, kalau di pihak Pemuda Umno tak ada masalah, maka mereka patut tunjuk disiplin sikit.

"Jangan sebab terdesak sangat sebab tak ada isu, mereka nak kejar kemenangan dan sanggup lakukan apa sahaja," katanya.

Diminta mengulas sama ada wujudnya ketegangan antara jentera BN dan PAS pada pilihan raya kali ini, Khairy berkata masalah itu tidak timbul di kalangan jentera dan penyokong tempatan.

"Saya melihat jentera tempatan dan penyokong tempatan tak ada masalah, mereka tak ada masala antara Umno dan PAS di Gua Musang ini, berbeza dengan di sesetengah tempat mungkin ada ketegangan.

"Di sini tak ada masalah, kita boleh bersalaman, sembang malah boleh minum sekali. Tapi bila datangnya jentera daripada luar, kita lihat mereka ini tak berapa mesra," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain