suria

Kerajaan Selangor Akan Bincang Dengan Kerajaan Persekutuan Selesai Isu Air - Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor pada Khamis akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah penyusunan semula industri air di negeri itu mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penyusunan semula itu perlu dipercepatkan bagi mengelakkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bergantung kepada kenaikan tarif air yang akan membebankan masyarakat.

"Setelah perbincangan itu selesai, kerajaan negeri Selangor akan bersama-sama mencari jalan untuk mempercepatkan proses pembangunan industri air dengan mengambil kira kepentingan masyarakat untuk keperluan air dalam masa lima tahun akan datang," kata Anggota Parlimen Bandar Tun Razak itu kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Mengenai Program Air Percuma Untuk Semua Peringkat Umum (Tabung Budi) yang dilancarkan SYABAS pada 22 Okt lepas, Abdul Khalid berkata ia sekadar permainan propaganda syarikat tersebut.

Katanya tabung itu tidak mungkin mencapai matlamatnya kerana syarikat berkenaan mempunyai hutang sebanyak RM2 bilion yang masih belum dapat dijelaskan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain