suria

N45 Galas: Calon PAS Rayu Fitnah 'Khalwat' Dihentikan

GUA MUSANG: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed merayu supaya isu tuduhan kononya beliau pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' dihentikan segera.

Tegas beliau, isu tersebut sepatutnya tidak lagi dibangkitkan oleh mana-mana pihak memandangkan tuduhan tersebut telahpun dinafikannya sebelum ini.

"Saya sudah nafikan perkara itu, saya mahu isu ini selesai disitu sahaja," katanya kepada media selepas proses penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tamat di sini, Selasa.

Dakwaan fitnah beliau ditangkap khalwat dengan 'isterinya' itu tersebar luas di beberapa blog termasuk laman web Umno Online.

Namun baru-baru ini beliau menafikan tuduhan itu dan menyifatkan ia hanya fitnah yang sengaja dimainkan oleh Umno untuk memburukkan peribadinya dan PAS.

Sementara itu mengulas mengenai pengesahan pencalonannya sebagai wakil PAS di DUN Galas, Dr Zulkefli berkata, beliau berjanji akan meneruskan usaha yang dilaksanakan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Che Hashim Sulaiman.

Menurut Dr Zulkefli, beliau optimis bahawa PAS bersama Pakatan Rakyat mampu mengekalkan kerusi DUN Galas dan berharap pengundi membuat pilihan yang bijak dalam pilihanraya kali ini.

"Saya pasti akan meneruskan usaha Allahyarham, saya harap pengundi Galas bijak menilai dan akan memberi undi kepada saya mewakili Pakatan Rakyat.

"Saya juga minta selepas ini kita (jentera PAS) sama-sama bekerja kuat untuk memastikan kemenangan PAS di Galas ini," katanya.

Pada pilihan raya yang akan diadakan pada 4 November depan, Dr Zulkefli akan menerima tentangan daripada calon Barisan Nasional (BN) iaitu Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, Ab Aziz Yusoff.

Artikel Lain