suria

KDN Nafi Laporan Jenayah Di Akhbar Jejas Imej Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan bahawa laporan jenayah yang disiarkan di dada akhbar mampu menjejaskan imej negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata laporan jenayah, termasuk berkaitan kehilangan rakyat asing di negara ini adalah sangat terpencil, justeru ia tidak menjejaskan kredibiliti negara kepada pelabur asing.

"Persepsi yang kononnya menunjukkan seolah-olah negara ini tidak tenteram adalah tidak betul dan saya yakin ia ditimbulkan oleh pihak yang berkepentingan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Abu Seman berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) yang meminta penjelasan daripada kerajaan apakah laporan jenayah di akhbar menjejaskan imej negara pada mata masyarakat antarabangsa.

Abu Seman berkata kenyataan itu boleh disokong dengan trend indeks jenayah secara keseluruhan menunjukkan penurunan sebanyak 16 peratus dalam tempoh sembilan bulan lepas. Terdahulu menjawab soalan Mohd Nasir mengenai statistik orang hilang dalam tempoh lima tahun bermula 2005 hingga 2009, beliau berkata 56 peratus daripada 12,841 orang yang dilapor hilang bagi tempoh itu telah ditemui semula.

Beliau berkata daripada 7,184 orang yang ditemui semula itu, 96.9 peratus atau 6,962 orang ditemui masih hidup manakala 222 orang atau 3.1 peratus lagi ditemui mati dibunuh atau sebab-sebab lain.

Abu Seman berkata antara punca kehilangan yang dikenalpasti ialah faktor masalah dalaman dengan anggota keluarga, perhubungan yang tidak direstui, diculik, orang tidak siuman dan mengikut kekasih rakyat asing pulang ke negara asal.

"Polis telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi mengesan kembali individu yang dilapor hilang itu termasuk mewujudkan data peribadi dalam borang yang dikenali sebagai 'Missing Person System 1', mendapat kerjasama daripada anggota keluarga bagi membuat hebahan menerusi media dan menyemak semula kes yang belum selesai setiap tiga bulan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain