suria

Pastikan Kemenangan Umno Pada Pilihan Raya Umum - Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang tidak perlu bersandiwara kononnya mereka memperjuangkan kesamarataan di kalangan rakyat negara ini kerana mereka juga tergamak menikam rakan seperjuangan mereka dengan perkataan kesat.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan berkata, parti pembangkang perlu menghentikan perbuatan memburuk-burukkan Umno kerana parti itu tidak pernah menghina dan mengkhianati kaum lain di negara ini.

"Dalam sejarah selama 50 tahun Umno berkongsi kuasa dengan parti yang mewakili kaum Cina dan India, kita tidak pernah menghina dan mengkhianati mereka," katanya semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno ke-61 di sini, Sabtu.

Katanya lagi, walaupun Umno dituduh rasis oleh parti pembangkang tetapi ia tidak melemahkan semangat parti untuk meneruskan perjuangan.

"Kita tengok sejauh mana mereka sanggup menipu rakyat dan sejauh mana mereka sanggup menggadaikan negara dan korbankan agama semata-mata untuk kuasa," katanya.

Tambahnya, pembangkang tidak akan berjaya menumpaskan kerajaan dan mereka patut sedar kebangkitan Umno setelah melalui tempoh muhasabah yang diterajui oleh presiden parti.

"Sepanjang 18 bulan bermuhasabah ramai telah melihat kesungguhan Perdana Menteri melancarkan pelbagai transformasi kerajaan dan ekonomi.

"Kita sendiri boleh melihat hasilnya," ujarnya.

Hishammuddin turut berpesan kepada semua perwakilan supaya terus bekerja keras demi kepentingan parti dan negara.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal berkata ahli Umno perlu bekerja kerasa untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang demi memastikan survival parti pada masa hadapan.

“Memenangi pilihan raya adalah perkara yang penting kepada Umno kerana ia penting untuk pertahankan kedudukan dan kuasa.

“Jumlah ahli yang ramai sahaja tidak cukup sebaliknya Umno memerlukan ahli yang setia. Setianya bukan bermusim, setianya bukan kepada pangkat dan kedudukan sebaliknya setia mereka perlu kepada perjuangan bangsa dan agama,” katanya.

Menurut Shafie, selepas Umno melakukan proses pemutihan ahlinya telah berkurangan daripada 3.5 kepada 3.1 juta orang sementara 700,000 ahli lagi didapati tidak mengundi pada pilihan raya umum yang lalu.

“Kita akan terus menjalankan proses merekrut ahli-ahli baru di semua peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri tidak kira di mana sahaja.

“Kita perlu menanamkan semangat ketergesaan dalam diri setiap ahli parti. Ayuh kita bukan sahaja menjadi ahli Umno sebaliknya kita perlu menjadi penentu kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Sabtu.

Shafie berkata, Umno perlu menggunakan pelbagai medium untuk menarik minat generasi muda untuk kembali menyokong parti itu.

“Tidak mencukupi dengan mendapat sokongan orang Melayu dalam Umno sebaliknya kita perlu dapatkan sokongan orang Cina dan India yang berada di luar Barisan Nasional,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah berkata ahli Umno perlu menghindari budaya berpuak-puak dan sikap mahu menjadi populis kerana ia boleh menjahanamkan parti .

Artikel Lain