suria

Saya Turun Kedah 7 Kali - Khairy

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung sayap itu menjelaskan bahawa beliau ke Kedah sebanyak tujuh kali bagi menyertai pelbagai program anjuran parti dan kerajaan.

Beliau menegaskan, tuduhan wakil Kedah, Basorri Abu Hassan yang mendakwanya hanya turun dua kali ke negeri itu selepas dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno sebagai tidak berasas.

"Cakap biar yang betul-betul. Saya periksa jadual saya sebanyak tujuh kali turun ke Kedah termasuk salah satunya berjumpa saudara Basorri," katanya di sini.

Sebelum itu Basorri yang juga Ketua Pemuda Bahagian Jerai pada sesi perbahasan ucapan dasar ketua pemuda mendakwa selepas pemilihan parti yang lalu, Khairy dilihat gagal melaksanakan tugasnya terutama bagi menyatukan ahli sayap parti itu.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap komitmen yang ditunjukkan 'bosnya', Basorri menggesa agar beliau mengotakan janji-janjinya untuk sentiasa turun meninjau perkembangan peringkat akar umbi.

Kata Basorri, selepas pemilihan baru dua kali Khairy turun ke Kedah sambil menyindir beliau hanya sibuk bergaduh dengan Perkasa.

Artikel Lain