suria

Perhimpunan Agung Umno 2010 Berjalan Lancar, Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2010 yang memasuki hari kedua hari ini berjalan lancar dengan perwakilan memberi tumpuan kepada perbahasan persidangan pergerakan tiga sayap Umno -- Wanita, Pemuda dan Puteri yang fokus ke arah usaha membantu rakyat selain memperkasa parti.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perhimpunan itu berjalan lancar dan dijangka kekal tanpa sebarang gangguan sehingga ke hari terakhir Sabtu ini.

"Saya melihat perjalanan (persidangan) berjalan baik yang melibatkan ramai perwakilan dan pemerhati. Ini menunjukkan komitmen mereka (perwakilan) amat baik," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

"Saya yakin satu resolusi juga akan dikeluarkan selepas mesyuarat dan mereka perlu menyahut apa yang diucapkan oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diambil iktibar khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang," tambahnya.

Beliau turut berharap supaya pembahas seterusnya yang terpilih dapat memberikan mutu perbahasan yang baik dengan memberi fokus kepada usul utama, iaitu usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul pendidikan dan agama.

"Saya yakin mereka juga akan membangkitkan mengenai Model Baru Ekonomi, Bajet 2011, serta perjuangan Umno dalam membela nasib orang Melayu dan dalam masa yang sama tidak meminggirkan kaum lain dalam negara," katanya.

Perhimpunan Agung kali ini melibatkan 4,907 perwakilan. - BERNAMA

Artikel Lain