suria

Bajet 2011 Bukti Kerajaan Hargai Pengorbanan Pesara

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Datuk Wan Mahmood Pawan Teh menyifatkan Bajet 2011 sebagai bukti kerajaan sememangnya menghargai pengorbanan serta sumbangan pesara di negara ini.

Beliau berkata sebelum ini, terdapat banyak bantuan dan kelulusan diberikan kepada pesara seperti bayaran pencen minimum RM720 sebulan, wang ehsan dan penghapusan bayaran wad hospital.

Katanya, menerusi Bajet 2011, kerajaan turut memberi pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM500 kepada mereka yang menjaga ibu bapa dan ini mampu mengalakkan lebih ramai anak menjaga orang tua masing-masing yang uzur atau telah bersara.

"Perkara ini senada dengan ajaran agama di mana anak-anak bertanggungjawab kepada kebajikan ibu bapanya yang tua dan berpenyakit," kata beliau dalam satu kenyataan, Ahad.

Wan Mahmood mengulas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat Jumaat lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pinjaman perumahan 100 peratus yang diberikan kepada golongan muda berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan bagi rumah berharga RM220,000 ke bawah, dilihat bertepatan kerana mereka mampu memiliki rumah sendiri apabila sudah bersara.

Sementara itu, Wan Mahmood berkata jaminan bahawa tol tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang juga wajar dan persatuan itu berharap warga emas akan diberikan diskaun tol.

"Pemberian ini tidak akan mengakibatkan apa-apa kerugian kerana hanya (terdapat) beberapa buah sahaja kereta orang-orang tua, malah tidak akan membawa kesan buruk kepada lebuh raya," katanya.

Beliau berkata bajet kali ini merupakan satu bajet yang sangat dekat d hati rakyat, dan berharap Dewan Senat atau Dewan Negara dapat dibuka kepada rakyat, khususnya pesara, bagi melahirkan dasar yang lebih mesra rakyat.-BERNAMA

Artikel Lain