suria

Bajet 2011: Skim Rumah Pertamaku Untuk Golongan Muda

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan untuk memilliki rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan maklum akan kesukaran yang dihadapi golongan itu bagi memiliki rumah.

Menurutnya, bukan mudah untuk mereka bertatih dalam realiti kehidupan. “Skim Rumah Pertamaku diperkenalkan melalui Cagamas yang akan menawarkan jaminan Kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000. “Skim ini adalah untuk pembeli rumah pertama berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Dalam kata lain, pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahulan,” katanya. Pembentangan Najib dalam Bajet 2011 itu bertujuan untuk meningkatkan keperluan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang selesa. Peruntukan RM568 juta disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit (Program Perumahan Rakyat) dan 8,000 unit (Projek Bantuan Sewa Rumah).

Selain itu katanya, kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional bagi membantu golongan pekerja estet untuk memiliki rumah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain