suria

Pakatan Pembangkang Letak Calon PAS Di Galas: Anwar

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang mengesahkan akan meletakkan calon PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November depan.

Ketua Umum pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama-sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden DAP, Lim Kit Siang akan pergi ke DUN Galas pada 22 Oktober depan untuk mengisytiharkan calon yang terpilih.

Bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PKR dan DAP akan memberi seluruh kekuatan serta sokongan kepada calon PAS yang bertanding mewakili pakatan pembangkang itu.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan berikutan kematian Chek Hashim Sulaima, 45, dari PAS, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 4 November.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi di Sabah yang bakal diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Edmund Chong Ket Wah Sabtu lepas, Anwar berkata, pakatan pembangkang di negeri itu telah diberi kuasa autonomi untuk menetapkan calon pilihan dan persiapan mereka.

"Mereka akan bermesyuarat selepas pengumuman SPR (mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian) pada Jumaat ini dan akan memberi laporan kepada kepimpinan pakatan selewat-lewatnya Isnin depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain