suria

Kes Mohd. Asri: Permohonan Kebenaran Untuk Merayu Diputuskan Disember

SHAH ALAM: Permohonan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya diberikan kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan kesnya dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah akan diketahui pada 28 Disember depan.

Tarikh tersebut ditetapkan selepas permohonan itu didengar di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang bersidang di sini pada Khamis, yang dipengerusikan oleh Hakim Syarie Tan Sri Ibrahim Lembut.

Ibrahim bersidang bersama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Md Yusup Che Teh.

Mohd. Asri, 38, selaku pemohon diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzzaman manakala Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd Hamid mewakili pihak responden.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu difailkan pada 15 Mei lalu selepas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohammad Adib Husain pada 28 April lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh responden supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Semakan itu difailkan ekoran keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada 18 November 2009 yang menolak permohonan supaya kes itu dipindahkan atas alasan Dr Asri merupakan orang yang dikenali.

Pada prosiding Khamis, Kamar Ainiah menghujahkan bahawa kebenaran itu perlu diberikan kerana wujud persoalan undang-undang yang berkepentingan awam dalam kes terhadap Dr Asri, yang akan menjadi ikutan kepada kes-kes akan datang.

Katanya lagi, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah memberi impak yang sangat besar kepada kepentingan awam memandangkan keputusan untuk memindahkan kes pada bila-bila masa terletak pada kuasa Ketua Pendakwa Syarie.

Hujahnya lagi, Ketua Pendakwa seolah-olah mempunyai bidang kuasa mutlak yang sangat luas dan tidak disekat untuk memindahkan kes ke mana-mana mahkamah tanpa memberikan alasan yang munasabah.

“Kuasa hakim dicantas, walhal mahkamah adalah tempat untuk orang awam mendapat perlindungan undang-undang dan keadilan. Apabila dicantas sedemikian rupa, kuasa mahkamah adalah terhakis,” tambah Kamar Ainiah.

Sementara itu, Abdul Shukor menjawab hujahan itu dengan mengatakan bahawa pemindahan kes itu dibuat mengikut peruntukkan undang-undang iaitu di dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2003 yang telah memperincikan prosedur pemindahan sesuatu kes.

“Ketua Pendakwa mempunyai kuasa untuk menetapkan sesuatu kes didengar di mahkamah mana dan saya percaya peruntukkan juga jelas menyatakan bidang kuasa dan sekatan seorang Ketua Pendakwa,” katanya.

Abdul Shukor menambah, isu yang disentuh oleh Mohd. Asri yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia telah diperincikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada alasan penghakimannya.

“Mahkamah Rayuan mempunyai budi bicara untuk menerima atau tidak permohonan ini yang bukanlah bersifat wajib. Dengan perkataan lain, mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk menolak permohonan ini jika didapati isu-isu yang ingin dibangkitkan tidak bersesuai,” katanya lagi.

Mohd. Asri dituduh mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang didakwa dilakukannya antara pukul 8.10 dan 9.45 malam, 1 November 2009 di kediaman di Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang, dekat sini.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain