suria

Polis Tahan 41 Pendatang Asing Tanpa Izin Dipercayai Terlibat 50 Jenayah Kekerasan

JOHOR BARU: Polis menahan 41 pendatang asing tanpa izin di kawasan bandar raya ini dan Nusajaya mulai Khamis lepas sehingga semalam kerana dipercayai terlibat dalam beberapa jenayah kekerasan termasuk samun, pecah rumah dan ragut.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 38 lelaki dan tiga wanita berumur 22 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi satu operasi besar-besaran.

"Polis menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu termasuk beberapa kapak dan parang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata antara hasil jenayah yang dirampas polis adalah dua komputer riba, kamera, telefon bimbit, sejumlah wang tunai dan jam tangan.

Katanya kesemua mereka yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 50 kes jenayah kekerasan itu kini direman untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata polis menahan dua lelaki berumur 22 dan 30 tahun serta merampas 49 paket heroin seberat 59 gram selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Dahlia, Kampung Melayu, dekat Kluang, tengah hari semalam.

Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati salah seorang lelaki yang ditahan itu positif mengambil dadah dan kedua-dua mereka kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai kegiatan penipuan peraduan 'Gores dan Menang' yang semakin berleluasa akhir-akhir ini, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menerima 87 laporan daripada pengadu sejak Januari sehingga kini.

"Sejumlah 85 laporan daripadanya telah dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan manakala dua lagi disiasat oleh polis atas kesalahan ugutan dan memaki penjawat awam," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain