suria

Najib Ucap Takziah Atas Kematian Isteri Bekas Perdana Menteri Singapura

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri Singapura atas kematian ibunya Kwa Geok Choo yang juga isteri bekas perdana menteri republik itu Lee Kuan Yew.

Najib yang berlepas ke Brussels, Belgium Sabtu malam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) berkata ia tentunya merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Singapura tetapi kepada keluarga Lee secara peribadi.

"Saya telah menelefon Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong) yang berada di Brussels (untuk menghadiri Asem) sekarang dan beliau (memberitahu) akan balik secepat mungkin ke Singapura.

"...saya telah menyampaikan takziah saya kepada beliau dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) telah menelefon isteri Perdana Menteri Singapura untuk mengucapkan takziah," kata Najib kepada pemberita sebelum berlepas dengan pesawat khas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

Mendiang Kwa Geok Choo meninggal dunia di rumahnya pada pukul 5.40 petang (waktu Singapura).

Najib, yang diiringi isteri berlepas ke Belgium bagi menghadiri Asem Kelapan yang akan bermula Isnin ini.

Sidang kemuncak itu akan membahaskan pelbagai isu yang menjadi perhatian bersama masyarakat Asia dan Eropah, antaranya pengurusan kewangan dan ekonomi global yang lebih efektif, pembangunan mampan, isu-isu global dan serantau serta hubungan antara masyarakat Eropah dan Asia, keterlihatan serta hala tuju Asem.

Sepanjang lawatan kerja itu, Najib dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Asia dan Eropah untuk membincangkan pelbagai isu yang menjadi perhatian bersama, selain dijadual menyampaikan ucapan semasa perbincangan tajuk "Financial and Economic Governance" Isnin ini.

Perdana Menteri juga dijadual menyertai pemimpin Asem dalam Forum Perniagaan Asia-Eropah yang terdiri daripada ahli perniagaan dan tokoh industri ekonomi serta kewangan dari Asia dan Eropah pada 5 Oktober.

Pemimpin-pemimpin Asem pula dijangka memperakui "Chair's Statement" yang bakal memuatkan kenyataan oleh pemimpin Asem mengenai isu dan cabaran dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Selain itu, mereka juga akan memperakui Deklarasi Mengenai Krisis Ekonomi Dunia Global yang bertujuan menekankan hasrat pemimpin Asem bagi menuju ke era pengurusan kewangan dan ekonomi global yang berkesan.

Asem ditubuhkan pada Mac 1996 dengan Sidang Kemuncak yang pertama dihadiri pemimpin dari enam negara anggota Asean, China, Jepun dan Republik Korea serta pemimpin dari negara anggota Kesatuan Eropah dan Suruhanjaya Eropah (EC). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain