suria

Najib Tiba Di Brussels Untuk Sidang Kemuncak Asem

BRUSSELS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini petang Ahad bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (Asem) ke-8 yang bermula Isnin.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Brussels pada kira-kira 5.30 petang (11.30 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Najib disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Belgium Datuk Hussein Haniff dan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di sini.

Dengan tema "Quality of Life: Achieving Greater Well-being and More Dignity for All Citizens" (Kualiti Kehidupan: Mencapai Kebajikan Lebih Luas dan Digniti Lebih Besar bagi Semua Rakyat), sidang itu membincangkan isu-isu seperti tadbir urus ekonomi global, pembangunan lestari, hak asasi manusia, bantuan bencana, penghadan senjata, keganasan dan jenayah terancang. Juga dalam agenda, isu hubungan rakyat dengan rakyat dan masa depan Asem.

Asem, platform utama untuk dialog dan rundingan antara pemimpin-pemimpin Asia dan Eropah, ditubuhkan pada 1996.

Ia ketika ini mempunyai 45 anggota dan meningkat ke 48 menjelang hujung kemuncak ini dengan kemasukan Russia, Australia dan New Zealand.

Ketibaan Najib di sini juga menandakan lawatan pertama seorang perdana menteri Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU).

Beliau dijadual berucap di sidang kemuncak itu pada tengah hari Isnin semasa perbincangan tentang tajuk mengenai tadbir urus kewangan dan ekonomi.

Para pemimpin dijangka mengesahkan dua dokumen pada penghujung sidang itu, iaitu Kenyataan Pengerusi dan Perisytiharan mengenai Krisis Ekonomi Global. Semasa di sini, Najib juga dijadual menyertai Forum Bisnes Asia-Eropah, menemui rakan-rakan sejawatannya dari Asia dan Eropah serta tokoh-tokoh industri dan melancarkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU.

Beliau akan pulang ke tanah air pada malam hari Selasa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain