suria

Sebabkan Kematian Warga Emas: Lelaki Dipenjara 8 Tahun

SHAH ALAM: Matlamat tidak menghalalkan cara. Itu mungkin perumpamaan yang dapat menggambarkan perbuatan T.R. Pravinkumar yang tergamak menyebabkan kematian seorang warga emas bagi mendapatkan wang untuk diberikan kepada ibunya.

Pravinkumar, 26, memukul M.Lohaletchumi, 73, dengan menggunakan kayu lalu merompak barang kemas yang dipakai mangsa.

Mangsa yang mengalami enam kesan kecederaan mati akibat kecederaan serius kerana dipukul dengan menggunakan objek tumpul.

Barang kemas tersebut yang disembunyikan di dalam pasu bunga rumah abang Pravinkumar, bagaimanapun berjaya ditemui dan dicamkan oleh anak-anak mangsa.

Pravinkumar yang pada asalnya dituduh membunuh Lohaletchumi bernasib baik selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan terhadapnya.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan selepas 11 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan di mahkamah.

Tanpa membuang masa, Pravinkumar mengaku bersalah dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Asmabi Mohamad memerintahkan dia dihukum penjara selama lapan tahun bermula daripada tarikh tangkap.

Dalam penghakimannya pada Selasa, Asmabi berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh dan juga pengamatannya terhadap tertuduh sepanjang perbicaraan yang telah menunjukkan perasaan kesal.

"Bagaimanapun, mahkamah tidak boleh hanya mempertimbangkan faktor tersebut. Mahkamah juga perlu melihat fakta kes. Satu insan yang tidak bersalah telah mati disebabkan perbuatan tertuduh.

"Mahkamah juga akan gagal sekiranya hukuman yang dijatuhkan adalah terlalu ringan," tambah Asmabi.

Pravinkumar didakwa menyebabkan kematian mangsa pada antara pukul 1.30 dan 2.30 petang, 14 Mei 2003 di kawasan pembuangan sisa-sisa binaan di tepi hutan berhampiran Darul Quran, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawam mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditangkap pada malam kejadian, selepas dilihat membawa mangsa menunggang motosikal sebelum kejadian.

Peguam Surjan Singh Sidhu merayu mahkamah mempertimbangkan faktor bahawa tertuduh telah insaf.

"Keluarga tertuduh juga menerima balasan daripada perbuatannya apabila mereka disisihkan oleh keluarga," tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain