suria

Dua Syarikat Pembinaan Didakwa Cuai

PETALING JAYA: Dua syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Selasa, atas tuduhan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja berhubung runtuhan di projek cadangan meroboh sebuah kompleks membeli-belah di sini, setahun lalu.

Syarikat tersebut, Syarikat Pembinaan C.W Yap Sdn Bhd dan Lian Hup Earth Work & Construction Sdn Bhd yang diwakili pengarah masing-masing mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Pengakuan Syarikat Pembinaan C.W Yap Sdn Bhd yang merupakan kontraktor utama kerja-kerja pembinaan tersebut dibuat oleh Yap Choon Wai di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu sebagai majikan telah gagal untuk menjalankan pengusahaannya dengan memastikan, setakat yang praktik bahawa orang lain, iaitu empat pekerja dan tiga orang awam tidak terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 5 petang, 28 Mei 2009 di projek cadangan meroboh bangunan pejabat dan kompleks membeli-belah 4-9 tingkat dan membina semula bangunan kompleks membeli-belah tujuh tingkat dan empat tempat letak kereta bawah tanah di atas HSD 173945, Jalan Semangat, di sini.

Pendakwaan terhadap sebuah lagi syarikat, iaitu sub-kontraktor pula dilakukan di Mahkamah Sesyen Tiga yang mana pengakuan tidak bersalah dibuat oleh Jason Hee Kok Hing, 40-an. Pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Syarikat Lian Hup didakwa gagal mematuhi sistem kerja selamat bagi semua pekerjanya termasuk seorang warga Indonesia, Anwarudin untuk kerja-kerja perobohan bangunan pada masa, hari dan di tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 15(1) akta yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(1) dan 15(1) memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 19 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan untuk tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai-Pengawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor, Hazlina Yon dan Jaafar Leman manakala peguam Ooi Huey Min mewakili kedua-dua syarikat tersebut.

Kedua-dua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 September depan di hadapan Hayatul Akmal selepas Rozina membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes di hadapannya dipindahkan bagi dibicarakan bersama memandangkan pertuduhan melibatkan transaksi dan saksi yang sama.

Media sebelum ini melaporkan, kejadian tersebut telah mengakibatkan bahagian empat tingkat bangunan pasaraya dengan tempat letak kereta bawah tanah runtuh sepenuhnya dan menyebabkan tujuh pekerja maut manakala tiga lagi cedera.

Kemalangan tersebut berlaku semasa kerja-kerja perobohan bahagian bangunan tersebut sedang dijalankan.

Artikel Berikut

Artikel Lain