suria

Beri Penekanan Ilmu Kepada Kanak-kanak Bawah 5 Tahun

KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap asuhan dan didikan awal kanak-kanak khususnya di bawah lima tahun adalah penting kerana 80 peratus pembangunan minda kanak-kanak berlaku pada umur itu, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata pendidikan dan asuhan berkualiti yang diberi ketika peringkat itu dapat menjadikan kanak-kanak membesar dan menjadi modal insan negara yang amat berkualiti dan seimbang.

"Teknik pembelajaran seperti merangsang minda kanak-kanak menerusi suasana pembelajaran yang menyeronokkan atau melalui permainan, dilihat mampu menarik minat kanak-kanak di bawah umur 5 tahun," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan kira-kira 100 anak-anak Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) berserta watak Elmo dan Cookie Monster di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di sini, Selasa.

Kehadiran Elmo dan Cookie Monster, watak dari rancangan Sesame Street, adalah sempena teater muzikal 'When Elmo Grows Up' yang dipentaskan di sini pada 3 hingga 5 September lepas.

Rosmah turut menyampaikan penghargaan di atas sumbangan 200 tiket teater itu kepada kanak-kanak Permata Negara.

Rosmah berkata usaha PCMC dilihat bertepatan dengan usaha memupuk peri pentingnya budaya ilmu di kalangan kanak-kanak serta mencerminkan komitmen PCMC di atas tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat.

"Saya berharap agar usaha bakti PCMC akan dicontohi pusat-pusat perubatan swasta yang lain untuk mengembangkan komitmen dan tanggungjawab sosial korporat mereka kepada golongan kanak-kanak yang bernasib malang dan datang dari keluarga berpendapatan rendah.

"Saya juga menyeru agar PCMC dapat memulakan inisiatif meneraju kerjasama dengan Permata Negara bagi memberi perkhidmatan kesihatan berkala percuma kepada anak-anak di 400 pusat Permata Negara," katanya.

Pada majlis itu, PCMC menyampaikan sumbangan RM11,000 kepada YKPMM hasil penjualan tiket teater muzikal itu.

Rosmah turut juga menyampaikan sumbangan peribadi duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni dan Rumah Siraman Kasih yang terletak di bawah naungan YKPMM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain