suria

Penjara, Denda RM500 Balasan Curi Senduk

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan ‘membayar’ harga yang cukup mahal untuk sembilan batang senduk selepas Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula Isnin, dan denda RM500.

Majistret Mohd Azali Ibrahim yang menerima pengakuan salah K.Selvarajoo, 49, juga memerintahkan hukuman penjara ditambah selama tiga hari sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh didakwa mencuri senduk itu yang kesemuanya bernilai RM128.20 pada pukul 2.50 petang, 19 Ogos lalu di tingkat dua, Pusat Pasaraya Jusco, Mid Valley, Brickfields, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Zamran mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam K.Kalavani.

Fakta kes menyatakan, tertuduh yang ditahan oleh pekerja pasar raya tersebut semasa sedang meluru untuk keluar gagal menunjukkan sebarang resit pembelian terhadap senduk yang dibawanya.

Artikel Lain