suria

Narkotik Kedah Tahan Lelaki Bersama 2.7kg Ganja

ALOR SETAR: Seorang kakitangan swasta ditahan bersama 2,700 gram dadah jenis ganja bernilai kira-kira RM9,000 dalam satu serbuan di pekan Lunas, Kulim dekat sini Khamis lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah DSP Zainuddin Saad berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditangkap pukul 9.30 pagi di sebuah gerai makan hasil maklumat orang ramai.

"Polis kemudian menemui tiga ketulan mampat ganja dan satu paket kecil juga dipercayai ganja dalam motosikal suspek yang diparkir tidak jauh dari gerai berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Beliau berkata suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan kali terakhir ditahan pada 2004.

"Polis masih menyiasat sama ada suspek memang bergerak sendirian ataupun terbabit dengan sindiket," katanya.

Beliau berkata suspek direman tujuh hari mulai hari tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain